KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita utama negara Pearly Tan, yang cedera di siku ketika menyertai Terbuka Singapura awal bulan ini, dijangka kembali menjalani latihan minggu depan.

Jurulatih beregu wanita, Hoon Thien How berkata kecederaan dialami atlet berusia 23 tahun itu semakin pulih dan mampu untuk menyambung latihan bersama gandingannya M. Thinaah menjelang Terbuka Korea 2023, Julai depan.

"Saya ada hubungi dia baru-baru ini dan kedengaran okay, selepas cedera hari itu. Doktor kata dalam sebulan dia akan sembuh.

"Tapi untuk pulih sepenuhnya belum lagi, mungkin 70-80 peratus, ada gerakan-gerakan tertentu dia tak boleh buat," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini hari ini.

Pada 7 Jun, Pearly-Thinaah menarik diri pada pusingan pembukaan Terbuka Singapura semasa menentang pasangan Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di set ketiga, disebabkan kecederaan Pearly ketika pasangan Jepun itu mendahului 16-9.

Pearly-Thinaah tewas set pertama 13-21 namun pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu kembali untuk menang set kedua, 21-17.

Kecederaan tersebut turut menyebabkan juara Terbuka Perancis 2022 itu terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka Indonesia 2023, pada 13 Jun lepas.

Dalam pada itu, Thien How berkata beliau akan mengatur latihan yang bersesuaian dengan kondisi Pearly untuk menjalani latihan terbaiknya pada Isnin ini.

"Untuk keadaan Pearly yang belum pulih sepenuhnya, saya akan aturkan latihan apa yang boleh," katanya.

-- BERNAMA